KOTA KINABALU: Janin bayi cukup sifat ditemukan di pusat loji kumbahan berhampiran Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian itu disaksikan beberapa pekerja penyelenggaraan kumbahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semasa membersihkan pembentungan itu.
“Janin bayi terbabit ditemukan tersangkut di dalam jaring semasa kerja-kerja penyelenggaraan loji sebelum penyelia dimaklumkan berkenaan kejadian yang kemudiannya melaporkan kejadian kepada pihak polis,” katanya.
Menurutnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan pemeriksaan awal dan melaksanakan proses sanitasi janin yang disaluti dengan bahan buangan.
“Pemeriksaan mendapati janin bayi cukup sifat itu berukuran 20 sentimeter dan masih baharu berdasarkan warna kulit janin yang masih belum berubah warna.
“Setakat ini usia serta jantina janin masih belum dapat disahkan oleh pihak hospital sehingga proses bedah siasat dilaksanakan,” katanya sambil menambah janin itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan selanjutnya.
Habibi berkata hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapti punca saliran kumbahan adalah dari saluran bangunan sebuah pusat beli belah dan kerja penyelenggaraan kali terakhir dibuat pada 24 Jun lalu.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.- Utusan Borneo
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost