PATI Filipina Terkandas Akibat PKP Mula Diusir Hari Ini

SANDAKAN: Pendatang asing tanpa izin (PATI)  Filipina yang terkandas di pusat tahanan sementara (PTS) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu mula diusir hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 395 golongan itu diusir melalui japaj laut dengan menaiki MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

Katanya, pengusiran itu berjaya dijalankan selepas ditangguhkan sejak Mac lalu apabila penguatkuasaan arahan ‘lockdown’ dan penutupan sempadan oleh kerajaan Filipina bagi mengekang wabak Covid-19 di negara itu.

Menurutnya, MKN Sabah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Filipina kerana memberikan pengecualian bagi membolehkan pengusiran dijalankan dan memudahkan proses tersebut dengan menanggung sendiri kos ujian saringan terhadap PATI Filipina.

“Kita berharap kerajaan Filipina mempertimbang agar proses pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) negara itu dibuat mengikut daerah atau wilayah asal PATI, bukannya dibuat berdasarkan tempoh selang masa 15 hari.

“Proses hari ini adalah siri ke-20 melalui laut pada tahun ini membabitkan PATI Filipina dan Indonesia, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir pulang sepanjang tahun ini seramai 4,751 orang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Filipina menyatakan penghantaran pulang warga negara itu yang ada di Sabah dibuat membabitkan 400 orang pada satu masa dengan tempoh penghantaran selang masa 15 hari.

Sitti Saleha turut berharap kerjasama padu semua pihak akan berterusan dan proses pengusiran pada masa akan datang berjalan lancar.

Jelasnya lagi, MKN dan semua agensi berkaitan akan terus komited menguatkuasakan tindakan ke atas PATI di negeri ini walaupun ketika wabak Covid-19 belum berakhir demi kesejahteraan dan kedaulatan negara.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *