WASHINGTON: Pegawai Kastam Amerika Syarikat (AS) semalam merampas produk daripada rambut manusia dari China, dipercayai dibuat oleh tahanan Islam di kem buruh di barat wilayah Xinjiang.
Ia adalah sebahagian daripada kargo 13 tan bernilai AS$800,000 (RM3.4 juta) dari Lop County Meixin Hair Product Co.
Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), pada 17 Jun lalu, mengarahkan barangan berkenaan ditahan kerana dibuat menggunakan banduan dan buruh paksa termasuk kanak-kanak.
Penolong Pesuruhjaya Eksekutif CBP, Brenda Smith, berkata pembuatan barangan itu membabitkan pencabulan hak asasi manusia yang serius.
“Penahanan produk itu bertujuan menghantar mesej secara terus lagi jelas kepada semua pihak yang mahu berurus niaga dengan AS bahawa amalan menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan tidak boleh diterima,” katanya.
Lop County Meixin adalah syarikat pengeksport rambut manusia, yang lazimnya diguna bagi tenunan rambut palsu, dan ia adalah syarikat ketiga dari Xinjiang yang disenarai hitam AS kerana menggunakan buruh paksa.
Pengumuman itu dibuat ketika Jabatan Negara AS, Perdagangan, Perbendaharaan dan Keselamatan Dalam Negeri memberi amaran kepada sektor perniagaan di AS supaya jangan mengimport barangan dibuat menggunakan buruh paksa dari Xinjiang atau mana-mana tempat lain di China.
Mereka juga memberi amaran kepada syarikat supaya jangan membekalkan alat pemantauan untuk kegunaan pihak berkuasa di Xinjiang atau membantu pembinaan kemudahan yang diguna untuk penahanan umat Islam dan minoriti lain di wilayah itu.
Menurut Jabatan Negara AS, kerajaan China terus menjalankan kempen menindas di Xinjiang, menyasarkan etnik Uighur, Kazakh, Kyrgyz dan kumpulan minoriti Islam lain.
“Perniagaan yang bersekongkol dengan perbuatan ini wajar menyedari risikonya termasuk dari segi kewibawaan syarikat, ekonomi dan perundangan,” katanya. – AFP
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost