Lelaki Jatuh Sungai Ditemui Lemas

Mayat Mangsa.

PAPAR: Lelaki yang terjatuh ke dalam sungai ketika cuba membaiki kabel elektrik terputus berhampiran sungai Kampung Mondikot, di Papar, ditemui lemas petang semalam.

Mangsa, Awangku Salam, 38, ditemui pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan orang awam, jam 6.20 petang,

Dia ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa yang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan, pada 2.44 petang.

Katanya, menurut saksi, mangsa cuba membaiki kabel elektrik yang terputus berhampiran sungai itu, namun mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Pasukan bomba diketuai oleh Ketua BBP Papar Roslie Jun bersama enam anggota digerakkan ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 25 kilometer dari BBP Papar.

“Pasukan penyelamat kemudian menjalankan operasi SAR di sepanjang laluan sungai bersama agensi penyelamat yang lain serta orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada jam 6.20 petang, mangsa ditemui oleh orang awam bersama dengan pasukan penyelamat kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

“Selepas ditemui, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Operasi tamat jam 9.20 malam tadi,” katanya. – HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1146