Bekas Pengawal Keselamatan UMS Cuba Rogol Pelajar Dipenjara 13 Tahun, 6 Sebatan

Gambar fail Arshad. – Gambar dailyexpress

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengawal keselamatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang cuba merogol seorang pelajar universiti berumur 18 tahun, dipenjara 13 tahun dan diperintah dikenakan enam kali sebatan rotan.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu ke atas Arshad Masdin, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Arshad pada Selasa.

Arshad, 28, didapati bersalah kerana cuba merogol gadis itu dengan mengoyakkan dan membuka pakaiannya pada jam 12.30 tengah malam pada 15 Julai, 2018 di asrama universiti itu, di sini.

Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(2)(a)/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara sepuluh hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Arshad diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia disabitkan iaitu Selasa selepas permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara tidak dibenarkan.

Namun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman sebatan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Selepas menjalani hukuman penjaranya, Arshad diperintah diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman itu, pendakwaan memanggil mangsa untuk memberikan kenyataan impaknya menerusi kamera.

Mangsa berkata selepas insiden itu kehidupannya berubah 360 darjah kerana dia rasa tidak selamat walaupun dia berada di rumahnya sendiri.

Katanya juga, dia tidak boleh tidur dalam keadaan gelap dan ahli keluarganya mesti menemaninya ke mana saja dia pergi.

“Saya ketika ini sedang menjalani rawatan psikiatrik kerana trauma yang saya alami. Saya sudah banyak kali cuba membunuh diri kerana saya merasakan hidup saya tidak lagi berguna tetapi keluarga saya memberikan saya galakan untuk terus hidup.

“Walaupun insiden itu sudah berlaku hampir tiga tahun lepas, ia masih jelas diingatan saya kerana saya sering dihantui selepas lelaki itu melakukan perkara tidak baik ke atas saya.

“Saya masih trauma sehingga ke hari ini ekoran kejadian itu yang memberikan kesan cukup besar ke atas kehidupan saya,” katanya dengan suara bergetar.

Dia berharap hukuman setimpal dikenakan ke atas pesalah itu.Semasa mitigasi, peguam Shahlan Jufri yang dibantu oleh peguam Mohd Al-Hafidz Mohd Lokman bagi mewakili Arshad merayu hukuman minimum dengan mengatakan dia perlu menjaga ibu bapa dan tiga anaknya, kerana dia adalah seorang bapa tunggal.

Shahlan turut menghujahkan bahawa Arshad tiada sabitan lampau dan ia merupakan kesalahan pertamanya, dan menambah Arshad telah memberikan kerjasama penuh kepada polis dan mahkamah serta dia juga tidak pernah gagal menghadiri sesi mahkamah untuk kesnya.

Shahlan turut memaklumkan mahkamah bahawa Arshad tidak pernah mengganggu sebarang saksi pendakwaan selepas rakan sekerjanya memberi keterangan yang memihak kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rustam Sanip yang melakukan pendakwaan bersama DPP Mas Izzaty Lokman, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan bagi menghalang, menyedarkan dan menghukum Arshah mengikut prinsip-prinsip penghukuman.

Rustam menghujahkan, cubaan rogol itu bukan saja menjejaskan mangsa secara psikologi, emosi dan mental bahkan juga pengajiannya.

Beliau mengemukakan faktor-faktor memudaratkan dalam kes itu yang mana mangsa, seorang pelajar matrikulasi di universiti berkenaan terpaksa menghentikan pengajiannya dan kembali ke tempat asalnya di semenanjung.

“Mangsa trauma akibat insiden itu, rasa dimalukan dan sedih, yang menjejaskannya secara psikologi, emosi dan sosial.

“Cubaan rogol oleh Arshad adalah satu paksaan dan agresif.“Keterangan kepada mahkamah mendedahkan mangsa ditumbuk dan dipukul di beberapa bahagian badannya yang menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

“Mangsa juga diikat di kedua-dua tangan dan kakinya, yang mengakibatkannya tidak dapat bergerak semasa cubaan rogol itu,” kata Rustam.

Shahlan memohon penangguhan hukuman dengan mengatakan Arshad dan keluarganya masih mengendalikan kesan banjir di Kota Belud dan jika Arshad dipenjara, ibu bapanya berdepan kesukaran untuk menguruskan masalah banjir di rumah.

Bagaimanapun, Rustam membantah permohonan itu atas dasar tidak ada keadaan khusus ke atasnya kerana kesalahan itu adalah serius.

Sebanyak 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil semasa perbicaraan.

SumbeR: Dailyexpress

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

18467