Masalah Perparitan Punca Banjir Di Beaufort

BEAUFORT: Masalah perparitan di daerah ini menjadi antara faktor banjir kilat yang berlaku pada Sabtu lalu.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, sistem saliran yang tidak efisien menyebabkan air tersekat sehingga melambatkan proses penurunan air banjir di beberapa kawasan daerah ini.

“Sebenarnya air ini lambat turun kerana sistem saliran yang tidak efisien dan saliran longkang yang kecil.

“Saya telah meninjau bersama-sama pegawai daerah dan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Beaufort, ada keperluan untuk membina saliran longkang baharu supaya air itu cepat turun dan  saliran ini juga perlu dibersihkan kerana terdapat rumput rumpai dan juga aliran yang tidak lurus sehingga melambatkan proses penurunan air,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di beberapa kampung yang terjejas susulan banjir kilat yang melanda di daerah ini.

Katanya, rata-rata penduduk yang ditemui  mengeluh dan menggesa agar usaha untuk menurunkan air banjir itu dipercepatkan.

“Kita melihat ada keperluan untuk program jangka panjang bagaimana untuk menyelesaikan kawasan-kawasan yang rendah seperti daerah ini supaya air itu cepat turun.

“Kita akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat tindakan daerah dan kita akan berbincang mengenai masalah ini,”katanya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya tiga saliran longkang (kalbat) harus dibina untuk mengelakkan masalah itu berulang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

828