Struktur Jambatan Papar Kukuh, Tidak Akan Runtuh – Pengarah JKR

KOTA KINABALU: Jambatan Papar yang dikatakan mempunyai keretakan akibat banjir yang berlaku pada Sabtu tidak akan menyebabkan jambatan tersebut runtuh.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Richard Jomiji berkata, keretakan yang berlaku di bahagian bawah jambatan itu hanyalah impak daripada banjir dan hakisan yang berlaku.

RICHARD JOMIJI

Beliau berkata demikian bagi menjawab mesej dan klip rakaman suara yang tular di media sosial sejak Ahad menyatakan Jambatan Papar mengalami keretakan dan mungkin boleh menyebabkan runtuhan disebabkan hakisan air yang deras.

Richard berkata, struktur jambatan itu masih kukuh dan mustahil untuk jambatan tersebut runtuh.

”Jurutera daerah juga sudah melaporkan keadaan yang berlaku dan ini bukan isu besar yang orang awam patut panik,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini hari ini.

Berikutan itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana dikhuatiri akan mengundang panik.

Dalam pada itu, Richard memaklumkan semua jalan yang terjejas akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat yang turun pada Sabtu sudah boleh dilalui sepenuhnya.

Katanya, kerja-kerja pembaikan kawasan yang dilanda tanah runtuh telah dilakukan. Ia termasuk kerja pembersihan dan juga pemasangan papan tanda.

Menurutnya, kawasan yang berlaku tanah runtuh adalah di Kota Belud, Tuaran, Penampang dan Papar. Namun, semua jalan yang terjejas sudah boleh dilalui kerana tiada sebarang kerosakan besar.

“Namun di KM10.1 Jalan Penampang-Tambunan, hanya satu lorong jalan sahaja boleh dilalui buat masa ini disebabkan kerosakan wayar elektrik yang memerlukan kepakaran daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

”Bagaimanapun, papan tanda telah dipasang di sepanjang jalan untuk memaklumkan kepada pengguna jalan raya mengenai keadaan laluan itu,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah kerosakan sebenar akibat tanah runtuh yang berlaku belum dapat dipastikan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *