Mangsa Banjir Di Sabah Menurun Kepada 705

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di beberapa daerah terjejas di Sabah menurun kepada 705 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 1,210 tengah hari semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata susulan itu lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang dan Tenom, ditutup.

“Tiga PPS di Penampang dan lima di Tenom ditutup, namun tiga lagi PPS iaitu di Dewan Seri Panglima Antanom, Rumah Kebudayaan Batu-Batu dan Rumah Kebudayaan Mandalom Lama masih kekal dibuka.

“PPS di daerah lain yang terjejas dengan banjir masih dibuka,” katanya.

Kamal berkata, di Kota Belud secara keseluruhannya terdapat 299 mangsa dari 32 kampung ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol, Dewan SRJK Chung Hwa dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

“Papar merekodkan 63 mangsa dari 19 buah kampung yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Papar.

“Di Beaufort, terdapat 113 dari 24 buah kampung yang ditempatkan di Dewan DSP Hj Dun Banir sementara di Tenom, 230 dari 13 kampung ditempatkan di Dewan Seri Panglima Antanom, Rumah Kebudayaan Batu-Batu dan Rumah Kebudayaan Mandalom Lama,” katanya.

Kamal berkata, enam lagi daerah di Sabah turut terjejas dengan banjir iaitu di Beaufort yang membabitkan 19 kampung, Tuara (17); Putatan (3); Keningau (2); Pitas (4) dan Kota Marudu (7).- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *