Hidangan Bufet Tidak Dibenarkan Untuk Majlis Sosial, Kenduri Kahwin

Hidangan makanan dalam bentuk bufet atau layan diri tidak dibenarkan dalam pelaksanaan majlis sosial antaranya membabitkan majlis perkahwinan, kenduri dan pertunangan.- Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Hidangan makanan dalam bentuk bufet atau layan diri tidak dibenarkan dalam pelaksanaan majlis sosial antaranya membabitkan majlis perkahwinan, kenduri dan pertunangan.

Selain itu, majlis juga tidak dibenarkan diadakan sekiranya penganjur sukar untuk mengawal keadaan dan perilaku tetamu.

Peraturan itu termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan majlis sosial yang diluluskan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 22 Jun lalu.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Perpaduan Negara, SOP ini juga terpakai untuk penganjuran kenduri atau majlis perkahwinan atau lain-lain majlis sosial di rumah ibabat bukan Islam.

“Penganjur perlu memastikan tetamu makan dalam kedudukan penjarakan sosial dan tidak berkumpul semasa makan.

“Tetamu adalah dilarang berkumpul atau berhimpun di luar ruang majlis sebelum atau selepas selesai majlis,” katanya, di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut, SOP ini merangkumi perkara penting di dalam menjalankan majlis sosial seperti had kapasiti kehadiran adalah seramai 250 orang atau kurang mengikut saiz ruang majlis dengan penjarakan sosial dan tertakluk dengan tempoh penganjuran selama tiga hingga lima jam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang media hari ini, menjelaskan kebenaran jumlah tetamu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa untuk majlis sosial terpakai untuk majlis akad nikah.

Mesyuarat Khas Menteri juga bersetuju untuk membenarkan jumlah tetamu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa bagi majlis jamuan perkahwinan di rumah ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

994