Kumpulan Individu Yang Didakwa Berlegar Di Hadapan Rumah ADUN Kuamut, Belum Dikenalpasti

Kota Kinabalu: Polis belum dapat mengenal pasti individu yang didakwa berlegar di kawasan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, 22 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pasukan polis hanya tiba di lokasi selepas menerima aduan daripada Masiung.

Katanya, polis sebelum itu menerima laporan bahawa terdapat beberapa kenderaan mencurigakan di luar rumah ADUN berkenaan.

“Berikutan panggilan itu, pasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar rumah ADUN terbabit.

“Namun pihak polis kemudiannya meninggalkan kawasan berkenaan selepas siasatan mendapati tiada kenderaan seperti didakwa di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaini berkata, pihaknya sudah menghubungi Datuk Masiung untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu.

Katanya, polis turut menasihati ADUN Kuamut itu supaya membuat laporan rasmi mengenai dakwaan beberapa kenderaan mencurigakan berada di kawasan rumahnya.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, Masiung masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, insiden yang membabitkan ADUN Kuamut itu mendapat perhatian ramai terutamanya di laman sosial Facebook berikutan pelbagai dakwaan yang timbul.

Perkara itu menjadi tular selepas seorang pengguna media sosial terbabit memuat naik status menyatakan pihaknya mendakwa melihat beberapa kenderaan di perkarangan rumah itu yang dipercayai kenderaan polis.

Status terbabit juga mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) pihak polis dan meminta agar ahli keluarga terdekat Masiung untuk menyalurkan bantuan.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2538