Jenazah Maslim Diterbangkan Ke Semporna Pagi Ini

Jenazah Allahyarham Maslim diterbangkan ke Semporna menggunakan helikopter EC 725 milik TUDM di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pagi ini. – Foto NSTP

KOTA KINABALU: Jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim yang maut dalam nahas di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, kelmarin, diterbangkan ke kampung halamannya di Semporna, pagi ini.

Jenazah Allahyarham dibawa menaiki helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jam 8.05 pagi tadi, dengan diiringi Laskar Kanan 1 PAP Mohamad Hafiz Md Nor dan dijangka tiba di Semporna pada jam 9.35 pagi.

Proses bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE), pada jam 2 petang semalam.

Allahyarham Maslim, 35, yang juga anggota Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan, ialah antara tiga mangsa terkorban dalam kemalangan jam 12.55 tengah hari itu.

Insiden itu turut meragut nyawa dua lagi anggota TLDM, iaitu Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dari Kluang, Johor, dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris dari Melaka, manakala Laskar Kelas II TLR Vincent M Orel pula cedera.

Jenazah Mohamad Firdaus dan Muhammad Arif dijangka diterbangkan masing-masing ke Johor serta Melaka, hari ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3487