Jenazah Maslim Selamat Dikebumikan Di Semporna

Nur Faezah mendakap Jalur Gemilang di sisi pusara suaminya. Gambar Abdul Rahemang Taiming

SEMPORNA: Jenazah Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, kelmarin selamat dikebumikan di Semporna, hari ini.

Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu apabila ahli keluarga termasuk isteri Allahyarham, Nur Faezah Mohd Pagal, 35 dan Ibunya, Intan Masahwah Lamjamun, 62, kelihatan mengalirkan air mata.

Terdahulu, kenazah Allahyarham yang diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 8.05 pagi tiba di Pangkalan TLDM, KD SRI SEMPORNA (KDSM) sebelum dibawa ke kediaman mentuanya di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan, pada 10.08 pagi.

Ratusan penduduk termasuk pegawai dan anggota TLDM hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Turut hadir Panglima Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 2, Pangkalan TLDM Sandakan, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali dan Pegawai Memerintah KDSM, Kepten Ahmad Nazree Abu Hassan.

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham kemudiannya disembahyangkan sebelum diiring Pasukan Kawalan Jenazah untuk dikebumikan berhampiran kediaman keluarga Allahyarham pada 11 pagi.

Maslim bersama dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I Muhammad Arif Idris maut selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu 12.55 tengah hari pada Selasa.

Seorang lagi rakan setugas iaitu Laskar Kelas II Vincent M Orel mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera, Wilayah Kota Kinabalu dekat Sepanggar.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6598