Pangkalan Data ‘OutDated’ Lambatkan Proses Beri Bantuan Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berdepan kelewatan dalam mengagihkan Bantuan Covid-19 Sabah susulan pangkalan data bagi bantuan sebesar ini tidak pernah dilaksanakan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Nic Chak berkata, pihak pentadbiran terpaksa bermula daripada proses pendaftaran, semak silang barulah kepada proses pengagihan.

Beliau berkata, ini disebabkan pangkalan data untuk operasi sebesar ini tidak pernah wujud.

“Pangkalan data sedia ada pula perlu dibersihkan kerana pentadbiran lalu tidak menyimpan rekod dan data dengan baik-baik. Banyak butiran outdated dan bercanggah. Kami dapati banyak duplikasi sepanjang proses pembersihan.

“Saya ambil contoh nama yang ada dalam kategori petani turut ditemui dalam kategori e-kasih, kategori pemandu teksi, kategori penjaja dan kategori warga emas.

“Jika tidak disemak, orang tersebut akan menerima bantuan kerajaan sebanyak lima kali. Ini tidak adil untuk orang lain. Atas sebab itu kakitangan dan anggota pentadbiran perlu ambil sedikit masa membersihkan pangkalan data yang ada.

“Di peringkat pengagihan pula, kami cuba menggunakan sistem perbankan sebaik mungkin. Ini demi keselamatan untuk mengelak berlakunya salah faham di mana wang telah keluar tetapi pemohon tidak menerimanya. Tapi, ramai pemohon yang tidak mempunyai akaun bank,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, dalam kategori orang Sabah di Semenanjung pula, kerajaan negeri tidak mempunyai data bilangan mereka yang bekerja di Semenanjung selama ini.

“Jadi kami jangka ada 30,000 pemohon sebagai contoh. Tetapi jumlah permohonan akhirnya cecah ratusan ribu orang.

“Peruntukan dan belanjawan terpaksa digandakan. Hari ini, kami telah berjaya membantu 134,318 orang Sabah yang belajar atau bekerja di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Menjawab kritikan-kritikan yang mengatakan bantuan tidak kesampaian, Nic berkata, peruntukan yang dibelanjakan melalui Bantuan Covid Sabah ini semuanya dana kerajaan Sabah tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan. Maka, ianya agak terhad kerana ramai yang memerlukan bantuan.

“Oleh kerana itu, kerajaan Sabah telah membuat keputusan untuk membenarkan setiap pemohon menerima daripada hanya satu kategori sahaja. Seorang hanya boleh menerima sekali.

“Ini bermakna jika pemohon tersebut merupakan keluarga B40 dan juga seorang penjaja, pemohon tersebut tidak akan menerima bantuan penjaja setelah menerima bantuan di bawah kategori B40. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan berbuat sedemikian untuk membolehkan lebih ramai rakyat Sabah dibantu dan kami telah berjaya membantu lebih 900,000 keluarga setakat 22 Jun ini.

Nic berkata, difahamkan ada yang langsung belum menerima bantuan. Bagi kerajaan sedikit masa kerana proses semak silang memakan masa.

“Seperti yang dijelaskan di atas, seorang pemohon hanya akan menerima daripada satu kategori sahaja. Oleh itu proses semak silang (cross checking) perlu dilaksanakan untuk memastikan duplikasi dielakkan.

Katanya, ini julung kalinya kerajaan Sabah melaksanakan bantuan kewangan dalam skala sebesar ini.

“Tidak ada mana-mana kerajaan Sabah terdahulu melaksanakan bantuan dalam skala sebesar ini. Tidak pernah wujud bantuan dalam sejarah Sabah yang melibatkan lebih 900,000 keluarga. Ini kali pertama ianya dilakukan.

Nic turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, anggota dan kakitangan yang terlibat dalam Pusat Kawalan Covid-19 Sabah, serta anggota pentadbiran di seluruh Sabah.

“Saya berpandangan penghargaan harus diberi kepada Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, Datuk Safar Untong, Pusat Kawalan Covid-19 dan kakitangan kerajaan Sabah yang berjasa kepada penduduk Sabah sepanjang PKP ini.

“Berdasarkan laporan harian Covid-19, ianya boleh dikatakan bahawa penularan wabak ini berjaya dikawal dengan baik di Sabah.

“Sudah berminggu-minggu Sabah berjaya catat sifar kes baharu. Yang ada pun satu dua kes sahaja. Kalau tidak silap, Sabah satu-satunya negeri yang berikan laporan perkembangan terkini secara konsisten setiap hari. Ini kejayaan untuk Sabah.

“Perlu diingatkan juga, ini operasi pertama dalam skala sebesar ini. Meskipun tidak berpengalaman, kerajaan Sabah telah berjaya menghulurkan bantuan kepada lebih 900,000 keluarga.”

“Diakui masih ada ruang untuk melakukan yang lebih baik. Akan tetapi, yakinlah bahawa kerajaan Sabah akan memperbaiki prestasi melalui pengalaman yang diperolehi dalam operasi julung kali ini,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1241