Penerbangan Terhad, Jumlah Bungkusan Naik Mendadak Punca Kelewatan Barang Tiba Di Sabah & Sarawak

Barang Ke Sabah Sarawak Dijangka Lewat, Pos Malaysia Terima Jumlah Bungkusan Luar Biasa. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bungkusan ke Sabah dan Sarawak menghadapi kelewatan untuk sampai ke alamat yang sepatutnya. Isu ini bukan lah sesuatu yang baru memandangkan kelewatan penghantaran ini telah bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac yang lalu.

Maklum lah, semua orang berada di rumah. Maka, cara yang paling senang untuk mendapatkan barangan ialah melalui pembelian secara atas talian.

Terbaharu, Pos Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman Facebook nya semalam tentang kesulitan yang dihadapi oleh syarikat kurier nasional tersebut.

Pos Malaysia kini mengalami peningkatan bungkusan secara mendadak terutamanya bungkusan yang dihantar ke Sabah dan Sarawak.

Pihaknya juga turut menjelaskan bahawa akan berlaku kelewatan dalam urusan penghantaran dalam masa terdekat. Oleh yang demikian, pihaknya kini sedang berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kapasiti bagi memastikan penghantaran dapat dilakukan secepat mungkin.

Bukan itu sahaja, punca kelewatan bungkusan ke Sabah dan Sarawak juga disebabkan oleh jumlah penerbangan yang terhad ke negeri Malaysia Timur tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak Pos Malaysia turut melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pelanggan yang memahami situasi yang dialami oleh syarikat kurier tersebut buat masa ini.

Walau bagaimanapun, netizen terutamanya pelanggan di Sabah dan Sarawak ternyata sangat tidak berpuas hati dengan servis kurier tersebut walau pun penjelasan rasmi telah dikeluarkan oleh pihaknya.

Menurut netizen, kebanyakan barang tidak dikemas kini di dalam sistem menyebabkan mereka tertanya-tanya dan risau tentang keberadaan dan keselamatan bungkusan mereka. Apatah lagi ia adalah amanah daripada orang.

“Kalau Pos Malaysia sudah tahu ada masalah dengan penghantaran ke Sabah dan Sarawak, kenapa tidak tutup dulu kaunter bahagian penghantaran supaya dapat fokus pada penghantaran barang-barang yang tertunggak lama,”NETIZEN

Namun, ada juga netizen yang memberikan komen yang positif berkenaan syarikat kurier tersebut. Malah, komen ini turut memberikan penghargaan kepada syarikat kurier tersebut kerana berjaya menghantar barang nya dengan selamat walau pun mengambil masa yang lama.

Jelasnya ringkas, tidak salah untuk kita memberi sedikit rasa belas kasihan dan kesabaran memandangkan selama ini kita sentiasa mendengar berita sedih terutamanya semasa pandemik sedang memuncak.

Betul tu.

Sementara itu, seorang lagi netizen turut berterima kasih atas usaha pihak Pos Malaysia kerana menjelaskan kesulitan yang berlaku. Walau bagaimanapun, beliau turut memberikan nasihat kepada syarikat tersebut agar menambah lebih ramai staf kerana tindakan memohon maaf tidak menyelesaikan masalah pelanggan.

Malah, jika pelanggan di Malaysia Timur bertindak melaporkan salah laku syarikat kurier ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), maka permohonan maaf tidak lagi boleh dijadikan alasan.

Apa pendapat anda? Adakah kini sedang menunggu bungkusan dari Pos Malaysia? Kongsikan pengalaman anda berhadapan dengan situasi ini di ruangan komen. – ILoveBorneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2493