Christina Gesa Ahli Keluar PKR Hantar Nama Sebagai Rekod

TAWAU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah meminta ahli yang membuat pengisytiharan keluar parti menghantar senarai nama bagi membolehkan mereka dikeluarkan dari rekod PKR Pusat.

Pengerusi PKR Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima senarai nama ahli yang mengisytiharkan keluar parti termasuk terbaharu membabitkan ahli PKR Kalabakan.

“Sebagai contoh semalam, mereka mendakwa ada 2,000 ahli keluar parti di PKR Kabalakan.

“Justeru, saya perlu tahu nama setiap daripada mereka kerana sesiapa sahaja boleh sebut angka orang keluar parti tanpa diketahui kebenarannya,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan ahli-ahli PKR yang bertindak keluar parti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat mangsa di lokasi kebakaran di Lorong Haji, Sundu Batu 2 Jalan Apas, hari ini.

Christina berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha PKR Sabah untuk menulis surat kepada pihak berkaitan bagi mengemukakan senarai nama ahli yang didakwa keluar bagi membolehkan proses penamatan keahlian dilakukan.

“Kalau mereka mencari alasan (hilang kepercayaan kepada pemimpin parti), biarkan kerana keluar masuk parti adalah perkara biasa.

“Saya tidak mahu katakan ia bagus, tetapi tindakan itu seperti satu budaya dan kita ada kebebasan (membuat keputusan),” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Tawau itu menyampaikan sumbangan wang ringgit dan barangan dapur kepada semua mangsa kebakaran di Lorong Haji Sundu.

“Saya melihat kerjasama sangat baik daripada ramai pihak termasuk orang perseorangan, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu mangsa di sini,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *