UMNO Sabah Sedia Hadapi PRU Jika Diadakan Mengejut

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar

KOTA KINABALU: UMNO Sabah bersedia untuk menghadapi pilihan raya sekiranya diadakan secara mengejut pada bila-bila masa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah memandang serius laporan media mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan merancang mengadakan pilihan raya mengejut pada suku pertama tahun 2021.

“Saya telah memanggil rakan-rakan pimpinan parti untuk turun ke bawah mempersiapkan lagi jentera masing-masing di semua peringkat… Pemuda, Wanita dan Puteri di setiap cawangan serta PDM (Pusat Daerah Mengundi).

”Persiapan seterusnya sebelum pilihan raya ini (ialah) UMNO Sabah (akan mengadakan) satu kursus jentera pilihan raya selama tiga hari dan selepas itu, kita akan turun ke bahagian masing-masing bagi melaksanakan sekali gus menggalas tugas sebagai jentera dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Sabah hari ini.

Baru-baru ini, media yang memetik laporan Nikkei Asian Review yang berpangkalan di Tokyo melaporkan bahawa Muhyiddin merancang mengadakan pilihan raya mengejut pada suku pertama tahun 2021.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditanya sejauh mana kekuatan kerjasama antara UMNO Sabah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata beliau yakin pimpinan kedua-dua parti mempunyai matlamat sama iaitu mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Katanya kekuatan kerjasama itu bukan hanya dengan Bersatu Sabah tetapi juga dengan rakan parti lain dalam gabungan seperti PBS, PBRS, STAR, MCA dan Pas.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1236