Covid-19: Satu Kes Baharu Di Tuaran, KK Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu kini dikategorikan sebagai zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dengan kebolehjangkitan di daerah itu, hari ini.

Ini selepas satu daripada tiga kes sembuh yang dicatatkan di Sabah hari ini adalah daripada daerah itu manakala dua lagi pesakit yang telah pulih dan discaj adalah di Tuaran.

Bagaimanapun, Tuaran masih mempunyai dua kes aktif termasuk satu kes baharu yang dicatatkan di daerah itu, hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang pernah direkodkan di Sabah setakat ini ialah sebanyak 363 manakala jumlah keseluruhan kes sembuh ialah sebanyak 349.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga menurun menjadi tujuh kes berbanding sembilan, semalam.

Statistik terbaharu itu dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sementara itu, jumlah daerah yang masih dikategorikan sebagai zon kuning kerana mempunyai kes aktif kini sebanyak empat iaitu Penampang yang mencatat tiga kes, Tuaran dua kes manakala Papar dan Pitas masing-masing mencatat satu kes.

Dalam pada itu, tiada kes kematian akibat Covid-19 di Sabah hari ini dengan jumlah korban akibat wabak itu kekal tujuh iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau, Keningau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri ketujuh terbanyak mencatatkan jumlah kes Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat 2,430, Selangor (2021), Negeri Sembilan (996), Johor (686), Sarawak (566) dan Pahang (365). – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *