PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk selain mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi sekatan jalan raya yang dilakukan, di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam operasi itu, sekatan jalan dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang memeriksa sebanyak 55 kenderaan.
Operasi dijalankan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran SMK Bahang, di sini, yang berakhir awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan adalah kesinambungan Op Mabuk yang diadakan sebelum ini.
Katanya, ia bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang motosikal dibawah pengaruh alkohol.
“Sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala seramai dua pemandu lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.
“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000.00 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.
Katanya, operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Operasi ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa bagi menghindari kemalangan jalan raya atas kecuaian memandu dibawah pengaruh alkohol,” katanya.- Berita Sabah
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost