BEIJING: Sebuah pesawat domestik di China terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas seorang penumpang wanita yang mabuk cuba memecahkan tingkap.
Laporan mengatakan wanita itu Li, 29, berbuat demikian kerana kecewa kerana hubungan cinta dengan teman lelaki putus di tengah jalan.
Rabu lalu, pengguna media sosial berkongsi laporan berita mengenai kejadian dalam pesawat Loong Air itu.
Berdasarkan laporan polis pada 25 Mei lalu, Li mengambil alkohol sebelum menaiki penerbangan berkenaan.
Gulf News melaporkan polis berkata, wanita itu menghabiskan setengah liter alkohol tempatan yang dikenali sebagai baijiu.
Minuman keras itu mengandungi paras alkohol antara 35 hingga 60 peratus.
Wanita itu kemudian dikatakan hilang pertimbangan ketika pesawat itu berada pada ketinggian kira-kira 30,000 kaki di udara.
Foto yang dikongsi di platform media sosial China seperti Weibo menunjukkan Li menangis di tempat duduknya dan memukul tingkap kaca berulang kali.
Kru kabin dan penumpang lain dilihat cuba menenangkannya.
Rakaman dari dalam pesawat menunjukkan pramugari cuba memindahkan Li dari tempat duduknya ketika dia memecahkan lapisan pertama tingkap.
Tidak lama kemudian, pesawat berkenaan terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, di ibu kota Henan.
Li ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati dia berada dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, tiada laporan berhubung bentuk tindakan atau hukuman yang diterima oleh wanita berkenaan.- AGensi
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost