Lelaki Maut Digilis Lori Sendiri

Kereta Myvi dipandu suspek.

TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut digilis dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Taman Thien Vun, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Fong Nyuk Kian, 75, maut, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, jam 12.40 tengah hari tadi, akibat kecederaan parah terutamanya di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, terdahulu, mangsa yang memandu lori meletakkan kenderaannya itu di tepi jalan lokasi berkenaan sebelum keluar dan menuju ke bahagian belakang lori.

“Dalam masa sama, muncul sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun dari Taman Thien Vun menuju ke Jalan Bunga Raya.

“Sebaik tiba di situ, pemandu Myvi berkenaan cuba mengelak seekor anjing yang secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkannya terbabas sebelum melanggar seorang lelaki berumur 63 tahun yang kebetulan berada di luar pagar rumah,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Peter, suspek turut melanggar lori mangsa menyebabkan kenderaan itu bergerak ke belakang dan mengenai mangsa.

“Pemandu lori itu kemudian terjatuh sebelum digilis kenderaannya sendiri di bahagian perut.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Ekoran kemalangan itu, seorang mangsa iaitu pejalan kaki turut cedera ringan manakala pemandu Myvi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Peter, pemandu Myvi kini ditahan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *