Rumah Pusaka Musnah, Penghuni Tinggal Sehelai Sepinggang

TAWAU: Tidur lena seorang pengawal keselamatan selepas keletihan pulang bekerja pada waktu malam, terganggu apabila terdengar jeritan keluarganya mengatakan rumah pusaka mereka terbakar, di Lorong Haji Sundu, Batu 2, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, Jais Jamaluddin, 42, bingkas bangun dan memeriksa seluruh rumah sebelum berlari ke bahagian tingkat bawah yang turut dijadikan kediaman berasingan.

“Disebabkan (tingkat bawah) berkunci, saya terpaksa memecahkan pintu sebelum kepulan asap yang memenuhi ruangan bawah itu keluar.

“Panik melihat keadaan itu, saya segera berlari semula ke bahagian atas untuk menyelamatkan barangan berharga,” katanya dalam keadaan sugul, ketika ditemui wartawan.

Bagaimanapun, hasrat Jais terbantut, apabila keadaan lantai rumah terlalu panas, menyebabkan dia terpaksa berlari keluar tanpa sempat sebarang harta benda.

Tambahnya, selain rumah pusaka dianggarkan berusia 39 tahun, sebuah motosikal miliknya dan teksi ahli keluarga lain yang diletakkan di bawah rumah, turut musnah.

Bagi seorang peniaga, Murni Sahabu, 39, ketika kejadian hanya tiga anaknya berumur tiga hingga lapan tahun tinggal di rumah bersama ibu mertua.

Murni

“Sebaik tiba di lokasi, hanya ibu mertua di rumah, manakala semua anak saya sudah melarikan diri ke kawasan lebih selamat.

“Saya kemudiannya segera mengarahkan ibu mertua untuk meninggalkan rumah kerana api sudah merebak sehingga rumah sebelah,” katanya.

Tambah Murni, mujur api berjaya dikawal segera dan kediaman mereka yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi terbakar, selamat.

“Hanya anak bongsu yang menangis dipercayai trauma akibat melihat kebakaran besar itu dengan bahang yang terlalu panas,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati sekurang-kurangnya enam buah kereta dan tiga motosikal musnah terbakar.

Sukur Hatta

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pegawai Kanan Bomba II Sukur Hatta berkata, dianggarkan lebih 20 rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

“JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.28 tengah hari tadi sebelum 40 anggota bomba dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang panas dan berangin menyebabkan api cepat merebak sehingga memusnahkan lebih banyak kediaman yang diperbuat daripada struktur separa kekal,” katanya.

Selain itu, JBPM turut berdepan masalah tekanan air rendah dan sumber air yang jauh sekali gus mengganggu sedikit usaha memadamkan api.

Tambah Sukur, api berjaya dikawal pada pukul 1.35 petang tadi.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa ekoran kejadian itu,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1038