Kluster Baharu Covid-19 Di Sabah Babitkan Warga Emas

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KOTA KINABALU: Sabah kini merekodkan  kluster baharu Covid-19  membabitkan warga emas yang meninggal dunia di rumah pada 12 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan mendapati sebelum ini mangsa mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2.

Tambahnya, aktiviti saringan kontak rapat dijalankan dan didapati dua kakitangan wad tersebut positif Covid-19.

“Sehingga hari ini seramai 63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, dua pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan dikenal pasti dan disaring.

“Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah,” katanya pada sidang akhbar harian di Putrajaya, hari ini.

Jelasnya, punca jangkitan kluster ini masih dalam siastan.

Sebelum ini, Sabah juga pernah mencatatkan satu kluster baharu dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan satu kluster membabitkan tiga buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia di Sabah iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

Selain itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 361 kes apabila dua lagi kes dilaporkan hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, dua kes baharu itu dikesan di Tuaran dan Papar.

Dengan penambahan kes itu, Papar kini bukan lagi  zon hijau manakala Tuaran menjadi daerah yang mempunyai kes aktif yang tertinggi dengan tiga kes berbanding daerah lain.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan Covid-19 di Sabah kekal 346 dan tiada kematian dilaporkan hari ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *