UPKO Lebih Besar Daripada Individu – Ewon Benedick

won Benedick

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan parti UPKO lebih besar daripada mana-mana pemimpin atau individu di dalam parti.

Katanya, beliau mengakui peletakan jawatan atau pemergian mana-mana rakan pimpinan pastinya akan meninggalkan kesan.

“Mereka yang meninggalkan parti menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Tetapi saya berpendapat, mana-mana pemimpin kanan harus menjadi sebahagian daripada hala tuju parti.

“Presiden adalah kapten tetapi kita semua adalah ahli pasukan dan berhak mempersembahkan kepada ahli atau rakyat bagaimana parti ini boleh menjadi platform kepimpinan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, perbezaan pendapat adalah normal dalam mana-mana organisasi.

“Saya juga pernah menyatakan pandangan yang agak unik dan berbeza daripada kepimpinan kanan, tetapi saya tidak pernah meninggalkan parti.

“Sebaliknya saya cuba berusaha mencetuskan keunikan tersendiri sesuai dengan objektif parti dan kita sentiasa boleh menguruskan perbezaan pendapat melalui parti.

“Tiada yang sempurna kerana kepimpinan adalah sesuatu yang dinamik dan pembelajaran sepanjang masa,” katanya.

Ewon berkata, banyak dasar baharu kerajaan negeri sudah dicapai dan dilaksanakan yang juga diperjuangkan oleh UPKO selama ini.

Justeru, beliau juga menyifatkan kenyataan Datuk Limus Jury yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu dalam satu sidang media semalam menyatakan UPKO tidak konsisten di dalam perjuangan adalah kurang tepat.

Ewon menegaskan UPKO akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sama-sama menguruskan negeri ini.

Dua wakil rakyat UPKO Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib masing-masing mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Limus adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu manakala James Adun Sugut. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *