Kontrak Ratusan Juta Punca Limus & James Tinggalkan UPKO

DATUK DR YUSOF YACOB

KOTA KINABALU: Alasan lompat parti untuk membela nasib rakyat yang digunakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO iaitu ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib hanyalah retorik semata-mata, sebaliknya tindakan mereka berpunca daripada kepentingan peribadi.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, Limus mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat, Perwira Progresif Sdn. Bhd. yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta manakala Datuk James Ratib merupakan antara kontraktor yang mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Justeru, tindakan mereka adalah demi kepentingan diri masing-masing dan bukan untuk rakyat.

“Sudah pasti kedua-dua mereka ini telah menerima tekanan dan perlu terus bersama Kerajaan Persekutuan dan atas sebab itulah mereka sekali lagi berpaling tadah dan dalam keadaan terpaksa menyokong PN.

“Alasan kedua-dua wakil rakyat kononnya mereka beralih sokongan demi rakyat serta hilang kepercayaan kepada Presiden UPKO hanyalah satu retorik untuk meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan melepaskan diri daripada kecaman pengikut dan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

James Ratib,kiri, dan Limus Jury

Dr. Yusof berkata, disebabkan kontrak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan, kedua-dua wakil rakyat itu perlu sentiasa bersama dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebab itulah kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyokong Warisan selepas sahaja Barisan Nasional (BN) hilang kuasa kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 2018.

“Sehubungan itu, keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO dan tidak lagi menyokong Kerajaan Sabah bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun kita menghormati keputusan yang dibuat.

“Semasa Pilihan Raya Umum 2018, Limus dan James bertanding atas tiket BN tetapi disebabkan kekalahan BN kepada PH di Putrajaya, mereka meninggalkan parti lama kerana mahu menyokong Warisan yang bekerjasama dengan PH,” katanya.

Menurut Dr. Yusof, Kerajaan Sabah tidak tergugat dengan tindakan kedua-dua wakil rakyat itu, malah dengan jumlah 45 kerusi yang ada politik Sabah masih kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Tegas beliau, pelbagai tawaran yang diberikan kepada wakil rakyat untuk berpaling tadah tidak akan berjaya kerana prinsip perjuangan yang kukuh.

“Semua wakil rakyat Kerajaan Sabah juga telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri untuk terus mentadbir negeri dan menuntut hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun ramai wakil rakyat diberi pelbagai tawaran lumayan untuk beralih sokongan, dan Kerajaan Sabah dicabar dengan pelbagai tekanan menerusi institusi kerajaan persekutuan, prinsip perjuangan dan maruah Sabah akan dipertahankan, ini bukan masanya untuk Sabah terus ditekan dan dibuli oleh parti dari Semenanjung.

“Saya sentiasa berhubung dan berbincang dengan ADUN Kerajaan Sabah. Saya tahu isi hati dan keyakinan mereka kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah,” tambahnya.

SumbeR: BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *