Kes Rampas Mayat COVID-19 Meningkat Di Indonesia

JAKARTA: Hospital di Indonesia meningkatkan kawalan di rumah mayat selepas ramai sanak saudara melarikan mayat mangsa COVID-19 kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.

Pihak polis berkata, di bawah peraturan baharu di republik itu, mangsa COVID-19 mesti dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera bagi mengelakkan penularan virus.

Ini kurang disenangi saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam, kerana tidak boleh memandikan dan mengkafankan jenazah sebelum dikebumi mengikut tuntutan agama.

Keluarga di negara majoriti penduduk Islam itu juga tidak dibenarkan berkumpul atau berada lama di tanah perkuburan ketika mayat mangsa dikebumikan.

Akibat kekangan itu, beberapa keluarga menceroboh memasuki rumah mayat beberapa hospital di Makassar di Sulawesi minggu lalu dan mengambil mayat anggota keluarga yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Jurucakap polis tempatan, Ibrahim Tompo, berkata mereka merampas secara paksa mayat yang sudah siap sedia untuk dikebumikan mengikut protokol virus.

“Sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.

“Bagi mengatasi masalah sama berulang, pihak berkuasa Makassar meletakkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal hospital tempatan,” katanya.

Tambah beliau, khabar angin mengatakan beberapa mayat turut dijadualkan dikebumi segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit tiada kaitan dengan COVID-19, lebih memburukkan keadaan

“Ini menyebabkan keluarga dan penduduk tempatan marah. Jadi, mereka memutuskan untuk mengambil mayat secara paksa untuk dibawa ke rumah,” katanya.

Jumaat lalu di Surabaya, pihak berkuasa berkata mereka menahan empat individu selepas saudara-mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital tempatan. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *