Polis Penampang Tahan 5 Pemandu Mabuk

PENAMPANG: Polis menahan lima individu yang memandu dalam keadaan mabuk manakala 26 saman kerana pelbagai kesalahan turut dikeluarkan sepanjang Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 12 tengah malam itu, sekatan jalan dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang dengan kerjasama Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah.

Operasi itu dijalankan di kedua-dua arah di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan adalah kesinambungan Op Mabuk yang diadakan sebelum ini.

Katanya, ia bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang motosikal dibawah pengaruh alkohol.

“Sebanyak 26 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala seramai lima pemandu lelaki ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Mohd Haris Ibrahim

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Katanya, operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna jalan raya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

805