14 Projek KDN Libatkan Kos Lebih RM1 Bilion Di Sabah Diteruskan

Hamzah ketika tiba pada lawatan kerja beliau di sini, semalam. – Foto Ihsan KDM

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 projek pembangunan fizikal Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sabah akan diteruskan dengan kos keseluruhan bernilai lebih daripada RM1 bilion.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua projek berkenaan dikategorikan sebagai projek sambungan daripada Rolling Plan terdahulu dan kesemuanya kini berada dalam pelbagai fasa pembinaan.

“Bagi tahun 2020, selari dengan inisiatif yang memfokuskan kepada kerja-kerja naik taraf, ubah suai dan pembaikan premis atau fasiliti sedia ada agensi, sebanyak RM12,996,570 telah diperuntukkan.

Hamzah ketika tiba pada lawatan kerja beliau di sini, semalam. – Foto Ihsan KDM

“Jumlah itu adalah khusus untuk kerja-kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah, kerja-kerja itu juga merangkumi pembaikan kuarters dan pejabat serta naik taraf stor JPJ dan JSJN,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Pentadbiran, Pusat Tahanan Sementara di sini, semalam.

Beliau berkata, pada April lalu Perdana Menteri telah meluluskan sebanyak RM150 juta di bawah pakej ransangan ekonomi PRIHATIN bagi kerja-kerja naik taraf semua agensi di bawah KDN.

Sementara itu katanya, OP Benteng COVID di Sabah telah diaktifkan pada 21 Mac lalu yang sebelum itu dikenali sebagai OP COVID Shield dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

“Selepas diumumkan oleh Perdana Menteri pada 10 April lalu, ia dilaksanakan secara bersepadu dalam Nasional Task Force (NTF) bersama agensi-agensi lain yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

“Tujuan utamanya ialah menyekat kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dengan memperkukuhkan kawalan sempadan negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kawalan sempadan ini dilakukan di dua tempat iaitu di sempadan daratan, lorong tikus dan lokasi-lokasi tempat pendaratan PTI,” katanya.

Katanya, terdapat 37 titik pendaratan PTI dikenal pasti di Tawau (empat), Semporna (satu), Sandakan (11), Kunak (tiga), Pitas (satu), Kudat (empat), Kota Marudu (dua), Kinabatangan (dua), Lahad Datu (lima) dan Beluran (empat).

Menurutnya, seramai 556 pegawai dan anggota ditugaskan dalam tempoh OP Benteng. Sejak OP berkenaan dilancarkan hanya tiga insiden membabitkan cubaan meloloskan diri masuk ke kawasan sempadan negara. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *