COVID-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Selepas dua hari berturut-turut mencatat kes baharu dan kematian, Sabah hari ini kembali merekodkan sifar kes Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan di negeri ini kekal dengan 358 kes manakala kes kematian juga kekal sebanyak tujuh kes.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi, turut menyaksikan tiada kes sembuh dicatatkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes sembuh kekal sebanyak 341 manakala jumlah kes Covid-19 aktif dengan kebolehjangkitan juga kekal sebanyak 10 kes.

Jumlah daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning kerana masih mencatat kes aktif juga kekal enam iaitu Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Beaufort yang masing-masing mencatat dua kes aktif manakala Tawau dan Pitas masing-masing mencatat satu kes.

Sabah juga kekal negeri ketujuh terbanyak mencatatkan jumlah kes Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat 2,414, Selangor (1996), Negeri Sembilan (957), Johor (680), Sarawak (557) dan Pahang (365).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

891