KDN Kenal Pasti 37 Titik Pendaratan Warga Asing Di Sabah

Datuk Seri Hamzah ketika melakukan pemantauan di PTS Manggatal, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti 37 titik pendaratan warga asing membabitkan 10 daerah di negeri ini susulan Op Benteng Covid yang dilancarkan sejak April lalu.

Semua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan, lima kawasan di Lahad Datu, empat kawasan di Daerah Tawau, Kudat dan Beluran.

Lain-lain kawasan yang turut dikenal pasti termasuk dua di Kota Kinabatangan dan Kota Marudu serta masing-masing satu di Semporna dan Pitas.

Datuk Seri Hamzah ketika melakukan pemantauan di PTS Manggatal, Kota Kinabalu

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam ‘National Task Force’ (NTF) bersama agensi lain yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Katanya, tujuan utama operasi berkenaan dijalankan adalah bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memperkukuhkan kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kawalan sempadan ini dilakukan di dua lokasi sempadan daratan iaitu lorong tikus dan lokasi lain yang dikenal pasti menjadi tempat mendarat PATI.

“Sepanjang operasi Op Benteng ini, seramai 556 anggota dan pegawai dikerah bagi menjalankan tugasan pemantauan,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan di Pusat Tahanan Sementara (PTS), Manggatal, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kejayaan operasi ini jelas terbukti dengan hanya tiga kes cubaan meloloskan diri masuk ke sempadan negara dikesan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamzah memberitahu, sebanyak 14 projek pembangunan fizikal diteruskan dalam fasa pembinaan membabitkan nilai kos RM1 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM31,081,499 diperuntukkan kepada agensi di Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *