(VIDEO) Lelaki Mangsa Langgar Lari Di Tawau Meninggal Dunia

TAWAU: Mangsa langgar lari di Jalan Dunlop, di sini, Isnin lalu, meninggal dunia, semalam, selepas lebih 36 jam bertarung nyawa.

Muhamad Yomo, 59, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Tawau, pukil 7.30 malam, akibat kecederaan parah selain kehilangan banyak darah.

Keluarga mangsa, Saripuddin Poeseri, 51, berkata, terdahulu, pihaknya memohon bantuan orang ramai bagi mendapatkan penderma darah jenis A- menerusi laman sosial Facebook bagi membantu mangsa.

“Alhamdulillah, ada beberapa individu tampil untuk menderma darah jenis tersebut.

“Namun begitu, perancangan itu tidak kesampaian apabila mangsa disahkan meninggal dunia, malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Ekoran kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Borneo Today melaporkan mangsa ditemui terbaring oleh orang ramai di Jalan Dunlop, pada pukul 8.40 malam, Isnin lalu.

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, mangsa dirempuh sebuah motosikal ketika cuba melintas jalan di situ.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *