UMNO Sabah Bersyukur Atas Kemenangan Musa

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan pengguguran kesemua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bukan sahaja kemenangan moral secara peribadi kepada beliau (Musa), tapi juga kemenangan moral kepada UMNO yang sering difitnah serta dilabal oleh pembangkang sebagai pemimpin korup dan `perampok’.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan moral ini akan merintis jalan lebih meyakinkan kepada parti untuk bangkit ke arah kemenangan yang lebih besar khususnya ketika berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Alhamdulillah UMNO Sabah memanjatkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada Musa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah atas kejayaan ini dan berharap ianya akan membakar semangat beliau sekali gus membakar semangat ahli UMNO Sabah untuk terus bangkit,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai kes Musa.

Terdahulu Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu, melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa kemudian memohon mahkamah untuk melepas dan membebaskan anak guamnya bagi mengelakkan daripada tuduhan tergantung.

Berikutan itu, Muhammad Jamil mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan.

Mengulas lanjut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, kemenangan Musa ini membuktikan banyak tuduhan yang digemburkan sebelum ini ternyata suatu fintah yang diadakan pihak tertentu terutama parti pembangkang.

“Dalam situasi sekarang rakyat bijak menilai pemimpin dan parti mana yang sebenarnya perompak, korup dan pengamal rasuah sebagai contoh ada pemimpin kanan sebuah parti tempatan dipanggil SPRM disoal siasat begitu juga di peringkat Pusat ada pemimpin menyimpan wang tunai ratusan ribu di rumah dan disiasat SPRM,” jelasnya.

Bung berkata perkembangan positif keputusan mahkamah itu diyakini dapat melonjakkan sokongan penyokong dan pengundi kepada Barisan Nasional dan UMNO khususnya di Sabah.

Untuk rekod, ketika ini hanya Musa wakil rakyat tunggal yang mewakili UMNO di DUN Sabah setelah rakan-rakan yang lain berhijrah ke parti lain.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2420