Semua Sekolah Dinyah Kuman Sebelum Dibuka

MARAN: Semua sekolah di seluruh negara khususnya sekolah menengah akan dinyah kuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dibuka semula untuk memulakan sesi pembelajaran.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata langkah itu bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan bersih daripada ancaman COVID-19.

Katanya, setakat ini belum diputuskan bila sekolah menengah akan dibuka dan menunggu pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, pada dasarnya pihaknya akan membantu KPM membuat nyah kuman di premis berkenaan dilakukan anggota bomba di setiap daerah sebelum sekolah dibuka sepenuhnya.

“Sebelum ini, KPM ada mengumumkan akan membuka sekolah menengah dahulu khususnya bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan mengambil peperiksaan tahun ini,” katanya.

“Sehingga semalam, JBPM membuat 7,817 operasi nyah kuman membabitkan 11,311 premis di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan melawat cadangan projek tebatan banjir bandar Maran, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Maran, Shahrudin Jali dan Jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS) daerah Maran, Nurul WahidaMohd Nabin

Sementara itu, beliau berkata, projek berharga RM25 juta ini akan mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar ini kerana Sungai Maran yang mengalami di tengah bandar Maran sering melimpah setiap kali hujan lebat.

Katanya, selepas projek ini siap ia akan mengatasi masalah yang sering menghantui 1,280 penduduk membabitkan 360 rumah dan kedai yang terletak berhampiran sungai Maran itu setiap tahun yang berdepan risiko banjir kilat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, selain itu JPS akan membina dua takungan air bagi mengurangkan kesan banjir khususnya pada musim tengkujuh.

Katanya, dua takungan air seluas 1.2 hektar di belakang Balai Polis Maran dan satu lagi seluas empat hektar di sebelah Kompleks Rakan Muda, Maran.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *