Musa Aman Bersyukur Diberikan Keadilan

KOTA KINABALU, 9 Jun: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersyukur kerana diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang dibuat ke atas dirinya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa berkata permohonan bagi membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini, telah dibuat secara teliti dengan disokong oleh keterangan serta dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

“Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini.

”Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutama mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kes ini sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Musa berkata apa yang telah berlaku terhadap diri dan keluarganya, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, namun, beliau menganggap ia sebagai satu ujian serta dugaan buat mereka sekeluarga.

Pada prosiding mahkamah itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua pertuduhan setelah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Bagi  kes rasuah, Musa, 69, yang diwakili Peguam Francis Ng Aik Guan, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan wang haram iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *