Tidak Mustahil Musa Aman Kembali Semula Dalam Gelanggang Politik Sabah

KOTA KINABALU: Mengambil kira keadaan politik semasa di Sabah, kini dijangkakan tidak mustahil bekas ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bakal kembali memainkan peranan lebih besar dalam gelanggang politik Sabah.

Penganalisis politik Sabah, Musli Oli ketika dihubungi berkata, susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Musa daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah boleh menjadi pendorong beliau untuk aktif semula.

“Musa masih adalah tokoh berpengaruh dalam politik Sabah dan keputusan itu barangkali menjadi pendorong beliau untuk kembali aktif dan main peranan lebih besar,” katanya.

Musli Oli

Beliau turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menyebelahi Musa, tidak mustahil sekiranya kes mengenai lantikan Ketua Menteri bakal disebut semula.

“Berkaitan keputusan lantikan Ketua Menteri, jika keputusan memihak kepada Musa, kemungkinan besar Ketua Menteri Sabah akan mencadangkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sabah dibubarkan untuk mendapat mandat baru.

“Ini kerana jika itu tidak dilakukan, kemungkinan besar beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) dijangka menyokong Musa.

“Bagaimanapun, Musa akan kekal bersama UMNO Sabah dan tidak mustahil juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan menyerahkan kembali pucuk pimpinan parti kepada beliau menjelang Pilihan Raya Umum ( PRU ) akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan politik semasa di Sabah, Musli yang juga banyak menulis buku mengenai politik Sabah itu menyifatkan politik Sabah sedikit terumbang-ambing berikutan keputusan parti pemerintah di peringkat negeri menyokong Pakatan Harapan ( PH ) dan Tun Mahathir.

“Keputusan parti Warisan Sabah ( WARISAN ) tidak menyokong kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin saya anggap tidak membawa sebarang menfaat kepada negeri dan rakyat Sabah terutama dalam usaha menuntut hak dalam MA63.

“Tindakan tidak bersetuju dan berkonfrontasi mungkin bukan saja menyebabkan Sabah terpinggir daripada pembangunan nasional tapi politik dalam negeri juga tidak stabil. Malah tidak mustahil akan ada usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“WARISAN menyokong Tun Mahathir bukan atas kapasiti beliau sebagai ahli Bersatu, tetapi sebagai bakal Perdana Menteri kerana Shafie pernah mencadang usul undi percaya terhadap Tun Mahathir dalam Sidang Dewan Rakyat yang lalu.

“Bagaimanapun, usul terbabit ditolak Speaker kerana bercanggah dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Musli juga menyatakan beberapa tindakan parti WARISAN sejak kebelakangan ini kelihatan tidak popular terutamanya apabila keputusan kerajaan negeri kerap bercanggah dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3055