Sabahan Akan Lebih Kuat Menentang Tekanan Politik Persekutuan – Peter

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony berkata, rakyat Sabah akan lebih bersatu selepas ini walaupun terdapat cubaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menggugat kestabilan politik di Sabah.

Peter yang menyifatkan kehadirannya ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini sebagai bermotif politik berkata, sebagai pemimpin beliau tidak akan berundur daripada tekanan.

“Kita adalah Sabahan, kita kuat bersatu di belakang Ketua Menteri, malah semua yang berhormat, mereka cuba kacau kita, kita akan tetap bersama kepimpinan Ketua Menteri kita.

“Tidak ada apa-apa yang akan memecahkan kita ini, saya percaya akan menguatkan lagi kedudukan kita di negeri Sabah,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat SPRM Sabah hari ini.

Terdahulu, beliau memberikan keterangan selama enam jam kepada agensi itu berhubung siasatan projek jalan raya di negeri ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur itu berkata, beliau tidak akan sesekali mengalah, malah akan terus berkhidmat kepada rakyat Sabah dan memperbaiki kelemahan yang berlaku selama ini.

Jelas beliau, masih banyak yang perlu diselesaikan dalam soal kebajikan rakyat Sabah terutama projek menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak pernah terlaksana selama ini.

Bagaimanapun katanya, tiada apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin terdahulu yang gagal melaksanakan amanah itu.

“Banyak projek-projek yang perlu diselesaikan projek air RM180 juta kerajaan terdahulu, jabatan air sampai sekarang tidak dilaksanakan.

“Menteri yang lama pun tidak ditangkap tidak dipanggil Ketua Menteri lama pun tidak ditangkap jangan berat sebelah biar profesional,” tegasnya.

Peter berkata, Kerajaan Persekutuan boleh melakukan apa-apa sahaja kepada Kerajaan Sabah kerana tidak menyokong kepimpinan mereka.

Sehubungan itu beliau tidak menolak jika selepas ini beliau sekali lagi dipanggil oleh SPRM atau ada mana-mana pemimpin Sabah lain yang dikenakan tindakan serupa.

“Saya rasa macam itu, maka kita sekarang bukan bersama Kerajaan Persekutuan, sebab itulah mereka boleh buat apa sahaja,” tambahnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2509