Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, Satu Pulih

KOTA KINABALU: Tiada kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes kekal sebanyak 355.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, hari ini, turut menyaksikan seorang lagi pesakit telah sembuh dan discaj.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah kini sebanyak 339 dan ini bermakna jumlah kes aktif menurun satu menjadi 11 kes berbanding 12, semalam.

Jumlah daerah yang berada dalam zon kuning kerana mencatat kes aktif juga kekal sebanyak enam daerah iaitu Kota Kinabalu dan Tuaran yang masing-masing mencatat tiga kes, Beaufort dua kes manakala Tawau, Penampang serta Pitas masing-masing mencatat satu kes.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,398, Selangor (1,971), Negeri Sembilan (911), Johor (676), Sarawak (555) dan Pahang (363).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1290