Saya Dedahkan Semua Kepada SPRM, Tiada Yang Tersembunyi – Peter

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, beliau telah mendedahkan setiap maklumat yang diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek jalan raya di negeri ini.

Beliau menegaskan tiada apa-apa yang perlu disembunyikan memandangkan pemberian projek kerajaan negeri itu dibuat mengikut saluran betul.

Katanya, kehadirannya di pejabat SPRM selama enam jam hari ini adalah prosedur biasa untuk membantu siasatan agensi berkenaan.

“Ini kenyataan biasa di mana ada rungutan ada aduan daripada awam berkaitan beberapa perkara maka kita kena panggil bagi kenyataan, hari ini adalah melibatkan salah satu projek kerajaan negeri tetapi semua projek ini ikut prosedur pun tiada masalah, semua pun berkaitan undang-undang peraturan yang kita tetapkan tiada masalah.

“Kalau mereka mahu panggil saya bila-bila masa, kalau dia panggil saya akan datang saya tidak akan lari saya akan berdepan dengan mereka,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat SPRM selepas selesai memberikan keterangan.

Terdahulu pagi ini, Peter hadir ke pejabat agensi itu pada pukul 10.20 pagi selepas dipanggil memberikan keterangan.

Kehadiran beliau ditemani peguamnya, Cedric Choo manakala beberapa wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) dan ahli parti itu turut hadir memberi sokongan.

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Karamunting, George Hiew; ADUN Tanjong Kapor, Ben Chong dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr.

Peter berkata, projek yang disiasat adalah berkaitan kegagalan syarikat konsesi lantikan kerajaan terdahulu yang gagal melakukan amanah diberikan dan telah dihidupkan semula oleh kerajaan sekarang.

“Kerja itu sebenarnya kerja lama kena faham yang kerja-kerja itu sebenarnya projek itu sebenarnya dulu diberikan kepada konsesi lama, kita cuma selaraskan balik bukan projek baharu kita selaraskan kerana kontraktor yang dilantik lama tidak buat kerja maka kita perbaharui itu sahaja bukan projek baharu,” tegas beliau. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *