Ini Ujian, Dugaan Disebabkan Perbezaan Politik – Musa Aman

Musa Aman menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai ujian tuhan buatnya dan keluarga. – NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai ujian tuhan buatnya dan keluarga, walaupun ia dilihat berlaku disebabkan perbezaan politik.

Musa berkata, permohonannya bagi membatalkan kesemua tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya dibuat dengan cukup teliti yang disokong keterangan dan dokumen jelas serta nyata tidak dapat dipertikaikan.

Beliau sehubungan itu mengucapkan terima kasih kepada peguam bela yang memberikan perkhidmatan cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh pendakwaan ke atasnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya dengan izin Tuhan, saya diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang sekian lama dibuat ke atas saya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada pihak pendakwaan dan Badan Kehakiman terutamanya mereka yang bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kes sejak dua tahun yang lalu.

“Tidak lupa sahabat jauh dan dekat serta rakan seperjuangan yang membantu secara langsung dan tidak langsung serta rakan media yang memberi saya manfaat keraguan sepanjang liputan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pagi ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Musa daripada kesemua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid bahawa pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1020