Bunuh Diri Tak Dapat Sertai Kelas ‘Online’

Devika Balakrishnan (gambar kecil) ditemui mati di tepi rumahnya di Valancherry, Kerala. Gambar Agensi.

Kerala: Remaja perempuan didakwa membunuh diri hanya kerana tidak dapat menyertai kelas dalam talian disebabkan rumah tiada internet.

Devika Balakrishnan, 14, ditemui mati di tepi rumahnya di Valancherry, di sini dengan botol cecair toksik yang sudah kosong di sisi.

Difahamkan, keluarganya tidak mampu menyediakan kemudahan internet dan remaja itu bimbang sekiranya ketinggalan dalam pelajaran disebabkan perintah berkurung Covid-19.

Bapanya yang sukar bekerja kerana sakit memberitahu media tempatan bahawa, anak perempuannya itu kemurungan disebabkan sukar menyertai kelas berkenaan.

“Dia meminta kami membaiki televisyen supaya dia dapat mengikuti kelas Online. Tetapi kami tidak mempunyai wang untuk membaikinya dan kami juga tiada telefon pintar,” katanya seperti dilapor Mirror.uk.

Kematian remaja itu mencetuskan protes di Kerala dengan penunjuk perasaan membangkitkan isu ketidaksamaan dalam perintah berkurung India susulan pandemik.

Ketua Kesatuan Pelajar Kerala, Abhijith berkata, “langkah kerajaan telah menyebabkan pelajar miskin dalam tekanan.”

Menteri Pendidikan India Professor Raveendranath berkata, siasatan terhadap kematian Devika sedang dijalankan, malah pihaknya turut membuat tinjauan untuk melihat kemudahan di rumah pelajar selain menyediakan bilik darjah di kawasan kejiranan bagi pelajar miskin yang tiada televisyen dan telefon pintar.

“Kementerian melancarkan kelas dalam talian secara rintis dan akan mengulang siar semua kelas itu berulang kali. Tetapi malangnya, remaja perempuan itu membunuh diri,” katanya.

Sesetengah sekolah di India mula dibuka namun, masih ramai yang menyediakan kelas dalam talian, dengan kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan agar mewujudkan bilik darjah di kejiranan dengan televisyen untuk menayangkan kelas dalam talian.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

826