Bantuan “E-Wallet” RM50 Akan Dikreditkan Bermula 1 Julai Ini, Manfaat Untuk 15 Juta Pengguna

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-Dompet pengguna bermula 1 Julai ini, umum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dan ini akan dipadankan dengan tambahan baucer, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-Dompet.

“Inisiatif ini yang bermula pada Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Jelasnya, inisiatif tersebut adalah untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan itu melalui program e-PENJANA bernilaI RM750 juta.

Selain itu, ia juga bertepatan dengan pilihan rakyat yang memilih untuk menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh atau contactless payment dalam menjalani kehidupan norma baharu kini.

“Saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi.

“Untuk menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, Kerajaan juga akan meneruskan kempen “Buy Malaysia”.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang,” tambahnya lagi.

Sumber: RTM

13792