Tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu Masih Segar Diingatan Malim Gunung

Danson(kiri) bersama pelancong asing yang mendaki Gunung Kinabalu.

KUNDASANG: Lima tahun lalu pada tarikh yang sama, tanggal 5 Jun, penduduk negeri Sabah dikejutkan dengan tragedi gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu.

Gempa berukuran 5.9 skala richter itu meragut nyawa 18 pendaki Kinabalu termasuk empat malim gunung.

Tragedi itu pasti tidak akan pernah dapat dilupakan penduduk Sabah terutama keluarga mangsa yang terkorban.

Tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015. – Foto Media Sosial

Masyarakat Orang Asal percaya insiden gempa bumi itu berlaku susulan tindakan 10 pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu hingga mencemarkan tempat suci tersebut.

Masyarakat juga percaya perbuatan yang dilakukan pelancong itu telah membangkitkan kemarahan penjaga Gunung Kinabalu.

Sehingga acara ritual ‘posogit’ diadakan selama tiga hari berturut-turut di kaki Gunung Kinabalu bagi mententeramkan ‘penjaga’ gunung.

Acara tradisi itu diikuti dengan bacaan mantera yang dilakukan oleh bobolian, iaitu dukun yang mengetuai acara adat-istiadat Kadazandusun.

Sebelum pembukaan semula laluan pendakian baharu pada 1 Disember 2015, ritual ‘monolob’ diadakan di Timpohon pada 30 November bagi memohon kebenaran daripada penjaga gunung bagi memastikan keadaan gunung selamat dan aktiviti pendakian berjalan lancar.

Kini biarpun lima tahun sudah berlalu, tragedi yang meragut nyawa itu tetap diingati melalui upacara memperingati mangsa gempa dan hero tidak didendang yang sanggup berkorban demi menyelamatkan nyawa pendaki lain.

Hari ini sekali lagi acara memperingati itu diadakan di platform Kiau View, Taman Kinabalu yang terletak 1km sebelum Timpohon Gate, dimana titik pendakian bermula.

Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), upacara pada tahun ini dilakukan secara tertutup oleh Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Danson Bulangai,39, berkata, acara memperingati mangsa dan rakan malim gunung yang terkorban untuk tahun kelima ini hanya melibatkan orang tertentu sahaja berikutan ancaman wabak pandemik Covid-19.

“Upacara memperingati mangsa yang tragedi gempa bumi ini sentiasa menjadi memori yang menyedihkan buat kami semua.

“Disebabkan oleh PKPB, upacara tahun ini tidak melibatkan orang yang terlalu ramai. Malah simulasi mencari dan menyelamat juga tidak akan diadakan kali ini,” katanya ketika dihubungi Borneo Today.

Menurutnya, rakan mereka Robbi Sapinggi, antara yang terkorban dalam tragedi gempa itu dan setiap tahun keluarganya mengadakan upacara memperingatinya.

Biarpun ritual monolob tidak diadakan semasa tahun pertama kejadian gempa berlaku namun, keluarga mangsa terkorban masih mengadakan acara sembahyang mengikut adat dan kepercayaan agama masing-masing.

“Pada ulang tahun pertama gempa, Bobolian turut menyertai upacara memperingati Robbi kerana ia sebahagian daripada adat-istiadat. Namun, tahun-tahun berikutnya upacara berdoa hanya dilakukan mengikut agama Kristian,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi impak gempa bumi terhadap sesetengah malim gunung yang memutuskan untuk kurangkan kekerapan mendaki.

Malah, seorang malim gunung berhenti menjadi malim gunung susulan trauma yang dihadapi kerana menyaksikan kematian pelajar sekolah rendah dari Singapura yang terkorban berikutan runtuhan batu semasa gempa bumi.

“Akibat trauma sebarang bunyi-bunyian yang kuat akan mengembalikan memorinya terhadap insiden yang dilihat di depan mata itu,” ujar Danson.

Malim Gunung yang berasal dari Kampung Kiau ini berkata, sehingga kini kawasan Sub-stesen Sayap-Sayap tidak digalakkan untuk berhenti lama berikutan ancaman bahaya yang dikhuatiri masih wujud.

“Jika pendaki ingin berhenti di situ, mereka tidak boleh berada terlalu lama kerana masih ada batu yang berada tidak jauh dari situ. Sekiranya berlaku gempa sekali lagi, batu-batu itu pasti akan jatuh ke kawasan sub-stesen tersebut,” jelasnya.

Katanya, mungkin orang ingat selepas lima tahun semua kehidupan kembali normal. Sebaliknya, tidak sebegitu. Tragedi itu masih memberi kesan terhadap mereka dari segi emosi.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana terdapat 28 stesen pengesan gempa bumi telah dipasang di Sabah bagi mengesan pergerakan seismik.

Stesen itu mula dipasang pada 2018 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem itu boleh mengesan gegaran-gegaran kecil dengan lebih tepat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *