Stacy Seronok Duduk Rumah

Foto Instagram Stacy

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang lebih membahagiakan seorang wanita selain dapat menguruskan keluarganya dengan baik. Itulah dirasakan penyanyi Stacy Anam, 30.

Mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, pemuzik dan komposer, Akim Ahmad pada 2016, ibu dua anak ini berkata, masanya sekarang memang banyak dengan keluarga.

“Sejak penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula, saya memang di rumah sepenuh masa bersama suami serta anak-anak.

“Terasa seronok juga bila sepenuh masa bersama keluarga terutama melihat dan melayan karenah mereka. Bella, 8, dan Eshaal, 3, kedua-duanya paling gembira.

Stacy sekarang semakin berminat menulis lirik lagu.

“Maklumlah, membina kerjaya dalam industri seni ini waktu kerjanya selalu tak menentu. Ditambah, saya dan Akim pula masing- masing sentiasa sibuk, katanya.

Menurut Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, sejak ‘berkurung’ di rumah sangat mengeratkan hubungan kasih sayang kami sekeluarga.

“Setiap hari, ada saja aktiviti menghiburkan. Malah, saya dan suami lebih banyak masa untuk berbincang mengenai perancangan masa depan.

“Apatah lagi, kami masih aktif dalam kerjaya seni dan ada syarikat pengurusan bakat. Maka, perancangan baharu harus difikirkan berikutan tak tahu bila pandemik ini akan reda, katanya.

Foto Instagram Stacy

Ujar Stacy, apa yang pasti dia juga semakin menggilap bakat dalam penulisan lirik lagu. Katanya Akim banyak membantu dan sangat memberi sokongan.

“Sekarang, saya memang semakin berminat menulis lirik lagu. Apatah lagi, ada beberapa karya dihasilkan secara bersama dengan Akim.

“Malah, yang pasti lagi hubungan kami bertambah erat. Masa bersama untuk berbincang dah banyak termasuk kami berpeluang bertukar pendapat dalam pelbagai perkara menjurus keluarga dan kerjaya, katanya.

Meraikan Aidilfitri secara sederhana, Stacy berkata fokus utama lebih kepada anak-anak terutama, Bella yang berjaya puasa penuh tahun ini.

Katanya dia tidak menggunakan pendekatan ‘paksa puasa’, tetapi Bella sendiri tekad berpuasa penuh dengan rela hati. Sebagai ibu, hanya mampu mengucap syukur.

Menurut Stacy, dia dan Akim lebih gemar memberi sokongan. Malah, mereka sepakat melayan apa saja kehendak Bella seperti memasak makanan kegemarannya setiap hari.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *