BERSATU Sabah Sokong Muhyiddin – Hajiji

Ketua BERSATU Sabah, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah kekal menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga presiden parti.

Ketuanya, Datuk Hajiji Noor, berkata sokongan terbabit adalah berdasarkan suara majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang bermesyuarat pada 23 Februari lalu agar BERSATU keluar Pakatan Harapan (PH).

“Adalah jelas bahawa tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah betul, kerana ia berasaskan suara majoriti ahli majlis pimpinan tertinggi BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pendirian BERSATU Sabah adalah jelas dan berpandukan kemahuan sebahagian besar ahli majlis pimpinan tertinggi.

“BERSATU Sabah juga mahu Muhyiddin diberi peluang dan kepercayaan mengemudi negara dan seterusnya berusaha untuk mengurus dan menstabilkan kerajaan serta menyatupadukan rakyat negara ini.

“Rakyat dan negara juga memerlukan beliau dan ahli Kabinet untuk mengurus negara dalam menghadapi ancaman pandemik COVID-19, cabaran besar ekonomi dan perpaduan rakyat.

“BERSATU Sabah juga berharap agar Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kebijaksanaan mereka mencari kata sepakat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku demi kepentingan negara dan rakyat,” tegasnya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15721