Pertandingan Unduk Ngadau & Sugandoi Ditunda – Peter

KOTA KINABALU: Pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi 2020 peringkat negeri ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Peter Anthony dalam satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini, berkata penundaan itu diputuskan bagi memberikan lebih banyak masa kepada peserta untuk membuat persiapan.

“Setelah saya dimaklumkan oleh pihak urusetia berhubung dengan permintaan dari kebanyakan peserta untuk memberi masa yang mencukupi bagi mereka membuat persiapan menyertai pertandingan dalam suasana kelaziman baharu.

“Mesyuarat juga telah menerima cadangan agar sidang juri professional dilantik untuk mengadili persembahan para peserta kecuali untuk kategori Miss Popular yang akan diadili secara undian atas talian,” katanya dalam kenyataan itu.

Peter berkata semua persediaan termasuk dari segi teknikal telah dibuat bagi memastikan penganjuran pertandingan julung kali secara atas talian dapat dilaksanakan.

“Kita semua mahu mempertahankan budaya keturunan kita, walaubagaimanapun kita juga harus celik untuk bertindak seiring dengan kemajuan teknologi semasa

“Keputusan ini juga dibuat dengan mengambil kira pendapat orang ramai dan menjaga sensitiviti masyarakat KDMR (Kadazan Dusun Murut dan Rungus).

“Kita faham dan maklum bahawa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) masih berkuat kuasa maka mesyuarat khas akan diadakan bagi memperhalusi SOP (Prosedur Operasional Standard) pelaksanaan program serta memastikan semua aspek termasuk kebajikan dan keselamatan peserta serta petugas dipatuhi,” katanya yang juga presiden KDM Malaysia.

Peter dalam kenyataannya itu juga merakamkan penghargaan kepada Joanna Kitingan dan Mary Juney selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Unduk Ngadau dan Asmin Mudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi serta ahli jawatankuasa masing-masing yang telah membuat persiapan dan persediaan penganjuran pertandingan secara atas talian ini.

“Jawatankuasa kelak akan memaklumkan tarikh baharu. Terima kasih di atas sokongan semua pihak, Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan,” katanya lagi. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *