Covid-19: 53 Pulih, Tiada Kematian Dicatat Hari Ini

KUALA LUMPUR: Terdapat pertambahan 53 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 5,912 kes dengan kadar kesembuhan 82.1 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 48 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,185 kes positif keseluruhan.

Beliau berkata, 48 kes baharu dilaporkan itu membabitkan empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

Katanya, daripada 44 kes penularan tempatan, 25 kes adalah bukan warganegara Malaysia termasuk 21 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih.

“Daripada keseluruhan kes itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,158 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 115 kes iaitu 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – HMEtro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *