Sidang Dewan Rakyat: Keahlian Parti Gugur Jika Duduk Di Blok Pembangkang

Ahli Dewan Rakyat berdoa pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Isnin lalu.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keahlian Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang duduk bersama barisan parti pembangkang dalam pembukaan sidang Parlimen, Isnin lalu boleh tergugur dengan sendirinya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata dalam perlembagaan parti, mereka yang menyertai kelompok pembangkang boleh menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.

“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur dengan sendiri. Sesuai dengan semangat keluhuran undang-undang yang kita pegang, parti perlu segera menyemak status keahlian semua mereka tanpa takut atau pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Pada pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin lalu, lima Ahli Parlimen BERSATU diketuai Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk berada di blok pembangkang.

Empat lagi Ahli Parlimen yang bersama Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden BERSATU; Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Wan Saiful menegaskan setiap parti mempunyai disiplin yang ditetapkan dan semua ahli perlu hormat perkara itu.

Katanya, parti tidak boleh membiarkan wujud satu kasta dewa yang boleh menolak disiplin parti terang-terangan kerana itu akan menjadi barah yang merosakkan parti.

“Sepatutnya janganlah sombong merasakan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti sendiri pun tidak sudi.

“Parti akan rosak jika pemimpin hanya mementingkan pandangan sendiri sahaja, tanpa mempedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat terhadap parti,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3304