3 Pengedar Syabu Raya Di Lokap, Dua ‘Runner’ Ditahan Di Kota Belud

Zaidi menunjukkan rampasan dadah semasa sidang media di IPD Kota Belud semalam.

KOTA BELUD: Penahanan dua ‘runner’ dadah jenis syabu membawa kepada tangkapan pengedar utama bahan terlarang terbabit di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek lelaki yang turut positif syabu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud pada hari sama menerusi Ops Covid-19 bermula jam 10 pagi.

“Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 32 tahun di Kampung Kulambai Kupang, kami turut merampas satu paket syabu seberat 0.07 gram bernilai RM30.

“Penahanannya membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 29 tahun di Kampung Belud Tanduk, Kulambai. Kami turut merampas satu paket syabu seberat 0.24 gram bernilai RM50,” katanya hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, hasil soal-siasat, suspek kedua mendedahkan bekalan syabu itu diperoleh daripada pengedar di Kampung Tamau.

“Susulan itu, kami melakukan serbuan di lokasi berkenaan. Pengedar utama berusia 24 tahun ini cuba melarikan diri namun dapat ditahan.

“Kami merampas 12 paket syabu seberat 50 gram bernilai RM7,600 yang disimpan dalam bekas cermin mata,” katanya.

Semakan mendapati, suspek ketiga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *