Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin, Kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata, kelebihan 2 kerusi yang diraih kerajaan PN ialah majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berang dengan penggantinya memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 2 tahun lalu, kembali berkuasa.

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu mempersoalkan kesahihan pakatan Muhyiddin yang berusia 2 bulan setengah dengan Umno.

“Salah untuk membuat penyusunan pintu belakang ini. Kami mahu memberi rakyat kerajaan sah yang mereka pilih. Itu matlamat kami,” katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Muhyiddin yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Mahathir, tanpa disangka dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas mendapat sokongan Umno untuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa Muhyiddin mencuri kuasa dengan menukar perikatan berbanding mendapatkan jawatan nombor satu itu melalui pilihan raya.

Awal minggu ini, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengelakkan undi tidak percaya yang diusulkan Mahathir, dengan bertegas Parlimen memberi keutamaan kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Tetapi, Mahathir berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan 2 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia,” kata Mahathir.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya.”

Katanya, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenarkan dibentang.

“Jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6338