TAWAU: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau merungut dengan keadaan kemudahan yang ada di pusat kuarantin itu.
Melalui satu muat naik yang dikongsi di Facebook, seorang pelajar yang dikuarantin meluahkan rasa kesal dengan kebersihan bilik penginapan mereka.
Pelajar terbabit mendakwa keadaan bilik di IPG itu kotor dengan lantai tidak dibersih dan berminyak ketika mereka tiba.
Dia juga mendakwa bekalan air di tandas juga terputus selain kebanyakan pelajar tidak diberikan bantal dan cadar manakala tilam yang disediakan pula dalam keadaan kotor.
“Pelajar terpaksa membersihkan sendiri bilik walaupun sudah terlalu penat selepas mengharungi perjalanan dari Kuching ke Tawau dan Kota Kinabalu ke Tawau.
“Liputan Internet juga sangat teruk sedangkan kami perlu menghadiri kuliah secara dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu pelajar terbabit berharap pihak berwajib memandang serius perkara itu dengan menyediakan tempat yang bersih dan selamat sepanjang menjalani kuarantin selama 14 hari.
Perkongsiannya itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk ada yang mendakwa penuntut IPT berkenaan tidak bersyukur dan manja.
Seorang penuntut dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut berkongsi pengalamannya sepanjang perjalanan pulang ke Sabah yang berjalan lancar walaupun terpaksa bersahur di dalam bas.
“Waktu macam ini janganlah cerewet atau mengharap tinggi sangat, janganlah buat andaian dan isu ini tidak membabitkan politik.
“Berhentilah menyebarkan perkara yang tidak benar kerana banyak pihak sudah bertungkus lumus terkilan dengan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat rungutan penuntut berkenaan.
Seramai 135 penuntut IPT awam dan swasta yang baru pulang dari Semenanjung dikuarantin di pusat kuarantin IPG Tawau.
IPG Tawau adalah salah satu Pusat Kuarantin bagi Zon Tawau yang merangkumi daerah Semporna dan Kunak serta mampu menampung seramai 800 penghuni dalam satu masa.- HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost