Sekolah Diserbu Selepas Langgar SOP Mesyuarat Ketika PKPB

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Chung Hwa.

SIPITANG: Pihak berkuasa memeriksa Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Chung Hwa di sini, selepas pengurusannya mengadakan mesyuarat tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Pegawai Daerah Sipitang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Matlin Dullah, berkata serbuan jam 11 pagi Isnin itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan mengenai mesyuarat yang diadakan itu.

Gambar yang tular di media sosial.

“Susulan aduan itu, Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Sipitang dengan kerjasama penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke sekolah tersebut untuk menyiasat sebelum mendapati maklumat diterima memang sahih.

“Mesyuarat itu dibuat tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan sejak PKP berkuat-kuasa, memandangkan ia membabitkan kehadiran lebih daripada 10 guru.

“Kita ke sana dan menasihati sekolah mengenai perkara itu. Dimaklumkan juga pihak sekolah mengeluarkan dan menyerahkan surat ‘Aku Janji’ dan surat terbabit ditandatangani guru besar sekolah itu sendiri,” katanya.

Matlin berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari di sekitar Sipitang bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha mengelak penularan wabak COVID-19.

“Kita membuat pemeriksaan bersepadu terhadap kedai, premis dan sebagainya untuk memastikan semua pihak mematuhi SOP.

“Mana-mana yang melanggar SOP terbabit, pihak kita akan mengambil tindakan dengan hadir untuk menasihati mereka,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1294